Lesen | Western Union International Ltd. |
Program berkuat kuasa bermula | Oktober, 2009 |
Maklumat Penting untuk Peserta dalam Program My WU. Perjanjian Program My WU (“Perjanjian”) ini mengandungi terma dan syarat yang mengawal selia Program My WU (“Program”). Istilah “Western Union”, “kita” dan “kami” yang digunakan dalam Perjanjian ini bermaksud Western Union International Limited, sebuah syarikat berdaftar Ireland dengan nombor 372428, yang berpusat di Richview Office Park, Unit 9, Clonskeagh, Dublin 14, Ireland. “Anda” bermaksud orang yang dikeluarkan Nombor My WU mengikut Perjanjian ini (“Nombor”).
- Ini ialah Kontrak antara anda dengan kami.. Anda hendaklah membaca dan menyimpan Perjanjian ini untuk rekod anda. Dengan membuat pendaftaran, menggunakan Nombor berkenaan atau dengan mengambil bahagian dalam Program ini, anda bersetuju untuk menerima terma Perjanjian ini. Nombor anda diperlukan untuk membuat sebarang urus niaga Program. Nombor anda tetap menjadi hak milik Western Union dan perlu dikembalikan kepada kami dengan serta-merta atas permintaan kami sekiranya berlaku penyalahgunaan, pembatalan Perjanjian atau penamatan Program. Untuk memanfaatkan semua kelebihan, hanya anda dibenarkan menggunakan Nombor anda. Penggunaan Nombor adalah tertakluk pada terma Perjanjian. Nombor ini adalah peribadi dan tidak boleh dikongsi.
- Penerangan Program. Anda boleh berdaftar untuk Program My WU tanpa menerima produk kewangan atau perkhidmatan daripada Western Union atau ahli gabungannya. Pendaftaran dalam Program ini memberi anda manfaat yang berikut:
- Kemudahan: Program ini membolehkan anda meminta penyelesaian urus niaga Western Union® yang layak (“Urus Niaga yang Layak”) dengan lebih mudah. Program ini membolehkan maklumat tentang anda tersedia secara automatik setiap kali anda menyertakan Nombor anda apabila membuat Urus Niaga yang Layak. Urus Niaga yang Layak adalah tertakluk pada terma dan syarat khusus produk atau perkhidmatan yang berkenaan, yang mungkin berbeza dari semasa ke semasa. Untuk menggunakan Nombor dan menyertai Program ini, anda perlu memenuhi semua keperluan mengikut undang-undang.
- Ganjaran: Program ini mungkin membolehkan anda memperoleh mata atau ganjaran atau manfaat lain (“Mata”) untuk setiap Urus Niaga yang Layak yang anda lengkapkan dengan Nombor anda. Penerangan Urus Niaga yang Layak dan Mata, jika ada, yang anda peroleh untuk setiap Urus Niaga yang Layak boleh didapati dalam bahan Program. Urus Niaga yang Layak dan Mata yang diperoleh adalah tertakluk pada perubahan mengikut budi bicara mutlak Western Union dan tanpa notis. Berkuat kuasa bermula 04-09-2023, anda tidak lagi akan memperoleh Mata untuk setiap Urus Niaga yang Layak. Jumlah semasa Mata pada Nombor anda tersedia atas permintaan dengan menghubungi Program My WU seperti yang dinyatakan dalam Bahagian 10.
- Penyertaan dalam Program. Program ini terbuka kepada individu perseorangan yang berumur 18 tahun ke atas dan mempunyai kediaman utama di alamat yang sah di negara anda. Hanya satu pendaftaran untuk setiap orang akan diterima. Kami mungkin, mengikut budi bicara kami, menolak untuk menerima pendaftaran anda jika anda tidak memenuhi kriteria pendaftaran kami.
- Pemerolehan Mata untuk Urus Niaga tanpa Nombor Anda. Jika anda membuat Urus Niaga yang Layak sebelum 04-09-2023 tetapi tidak menggunakan Nombor anda, anda masih boleh memperoleh Mata dengan menghubungi kami di nombor yang disediakan dalam Bahagian 10 di bawah. Kami berhak untuk tidak memberikan Mata jika kami tidak dapat mengesahkan urus niaga tersebut.
- Penebusan Mata anda. Setelah anda mengumpulkan Mata yang diperlukan untuk ganjaran yang tersedia, anda boleh menebus Mata anda dengan log masuk ke www.wu.com/mywu atau menghubungi kami di nombor yang disediakan dalam Bahagian 10 di bawah. Ganjaran dan Mata yang diperlukan untuk menebus ganjaran tersebut boleh didapati dengan log masuk ke www.wu.com/mywu dan kedua-duanya adalah tertakluk pada perubahan mengikut budi bicara mutlak Western Union dan tanpa notis. Mata tidak boleh dirunding atau ditebus dengan wang tunai.
- Ganjaran dan Manfaat. Western Union mungkin dari semasa ke semasa memerlukan anda mengesahkan maklumat tertentu tentang diri anda (contohnya, alamat e-mel atau nombor telefon bimbit) sebelum anda dapat memperoleh, menerima dan/atau menebus ganjaran dan manfaat Program. Semua ganjaran dan manfaat yang ditawarkan adalah tertakluk pada perubahan dan ketersediaan atau pembatalan tanpa sebarang notis awal daripada kami.
- Maklumat Penting tentang Mata anda. Mata akan tamat tempoh setahun selepas tarikh Urus Niaga yang Layak. Sebarang Mata yang diperoleh pada Nombor anda akan ditarik balik apabila Nombor anda atau penyertaan anda dalam Program digantung, ditamatkan, dibatalkan, ditutup, ditarik balik, didapati berunsur penipuan atau diisytiharkan tidak sah di bawah undang-undang. Mata tidak akan diambil kira sehingga anda membuat penebusan, tiada nilai tunai, tidak akan memperoleh faedah dan tidak diinsuranskan terhadap kehilangan. Mata tidak boleh dibeli, dijual, digabungkan atau dipindahkan dengan apa-apa jua cara. Anda bertanggungjawab sepenuhnya untuk mengekalkan Nombor dan Mata anda. Ganjaran tidak akan diganti jika hilang atau dicuri dan Mata yang digunakan untuk menebus Ganjaran tersebut tidak akan diiktiraf semula.
- Komunikasi. Dengan memberikan nombor telefon rumah, alamat e-mel dan/atau nombor telefon bimbit anda sebagai sebahagian daripada proses pendaftaran, anda secara nyata membenarkan Western Union menghubungi anda dari semasa ke semasa melalui telefon, e-mel atau pemesejan SMS/MMS dan pemesejan bersasar atau peribadi (contohnya, pada media sosial dan saluran digital lain) dengan berita, tawaran, perkhidmatan, promosi dan komunikasi lain berkenaan Western Union dan/atau syarikat lain yang berhubungan dengan Western Union. Anda memahami dan bersetuju bahawa sebarang caj yang dikenakan oleh penyedia perkhidmatan tersebut menjadi tanggungjawab anda sepenuhnya. Anda boleh menarik semula persetujuan anda pada bila-bila masa dengan log masuk ke www.wu.com/mywu untuk mengurus keutamaan anda atau menghubungi kami di nombor yang dinyatakan dalam Bahagian 10 di bawah.
- Kebenaran untuk Memproses, Mendedahkan dan Memindahkan Maklumat kepada Pihak Ketiga.
- Dengan menyertai Program, anda bersetuju bahawa Western Union boleh menggunakan maklumat peribadi yang anda berikan kepada kami apabila menggunakan Program ini dan produk dan perkhidmatan kami yang lain, serta maklumat lain yang dikumpul atau dijana semasa hubungan kami dengan anda untuk tujuan dan cara yang diterangkan dalam bahagian ini. Ini termasuk maklumat daripada perkhidmatan lain seperti pemindahan wang, pembayaran bil, program kesetiaan atau keahlian, sejarah penggunaan terdahulu terhadap perkhidmatan kami dan pilihan pemasaran. Maklumat ini digunakan untuk memberikan anda perkhidmatan yang anda minta dan untuk aktiviti seperti pentadbiran, khidmat pelanggan, pencegahan pengubahan wang haram dan keperluan undang-undang atau pematuhan lain, untuk mengesahkan butiran anda, untuk membantu kami memahami pengguna kami dengan melakukan analisis dan kajian maklumat yang kami simpan, untuk mencegah dan mengesan penipuan, hutang dan kecurian, untuk membantu kami menambah baik produk, perkhidmatan dan operasi kami serta tertakluk pada pilihan anda, menghantar komunikasi komersial kepada anda melalui e-mel, telefon, pos, SMS dan melalui sebarang saluran lain yang berkaitan.
- Western Union juga boleh menggunakan, mengumpul dan berkongsi dengan perniagaan dan penyedia perkhidmatan lain yang bekerjasama dengan kami, maklumat daripada produk dan perkhidmatan lain serta program kemudahan dan/atau ganjaran anda dengan kami, yang telah anda daftar. Maklumat ini boleh digunakan untuk mana-mana tujuan dalam bahagian ini. Kami akan menyimpan dan mengekalkan maklumat yang anda berikan kepada kami tentang orang lain, termasuk butiran penerima perkhidmatan kami untuk membuat urus niaga. Jika anda memberikan maklumat tentang orang lain kepada kami, anda bertanggungjawab untuk memaklumkan dan mendapatkan kebenaran daripada orang tersebut tentang penggunaan maklumat ini seperti yang dinyatakan dalam bahagian ini. Penyediaan maklumat kepada Western Union ialah maklumat pilihan tetapi diperlukan untuk melaksanakan Program dan menyediakan perkhidmatan ini kepada anda. Tanpa maklumat tersebut, Western Union tidak dapat menyediakan Program, menyokong aktiviti kemudahan atau perkhidmatan lain yang diminta.
- Kami mungkin memberikan maklumat yang kami simpan kepada pihak dan lokasi di luar negara anda, termasuk negara seperti Amerika Syarikat, untuk tujuan yang dinyatakan dalam pernyataan ini. Kategori data yang dipindahkan ialah maklumat peribadi, butiran hubungan dan maklumat yang berkaitan dengan Program, sejarah urus niaga dan sebarang Maklumat lain yang anda sediakan. Kami juga mungkin memberikan maklumat kepada organisasi lain, termasuk yang membantu kami menjalankan perniagaan kami dan Program ini, jika terdapat keperluan yang munasabah untuk berbuat demikian, untuk menjalankan atau menyokong Program dan perkhidmatan yang anda minta, untuk perkhidmatan masa hadapan atau untuk sebarang sebab atau kegunaan yang dinyatakan dalam bahagian ini. Kami boleh menambah maklumat yang anda berikan dengan maklumat daripada perniagaan atau individu lain, termasuk maklumat untuk mengesahkan ketepatan maklumat yang anda berikan. Western Union juga boleh memberikan maklumat kepada pihak ketiga, jika terdapat keperluan yang munasabah, untuk membantu mencegah dan mengesan jenayah, untuk mendakwa pesalah, untuk keselamatan negara atau sebab undang-undang lain.
- Maklumat yang kami simpan boleh diakses oleh Western Union dan ahli gabungan kami termasuk tetapi tidak terhad kepada Western Union International Bank GmbH, Western Union Payment Services Ireland Limited dan Western Union Financial Services, Inc. dan mana-mana penyedia perkhidmatan pihak ketiga yang dibenarkan atas sebarang sebab yang dinyatakan dalam bahagian ini atau untuk tujuan lain yang telah anda memberi persetujuan. Anda berhak meminta kami melihat dan mendapatkan salinan maklumat anda, yang kami mungkin mengenakan sedikit bayaran. Anda juga boleh membetulkan, memadamkan atau mengehadkan penggunaan kami terhadap maklumat yang tidak betul, tidak tepat atau telah lapuk. Anda boleh membuat bantahan pada bila-bila masa atas sebab yang munasabah terhadap penggunaan maklumat anda apabila pemprosesan maklumat tidak diperlukan untuk melengkapkan perkhidmatan atau diperlukan oleh undang-undang atau peraturan. Jika anda mahu melaksanakan hak ini atau tidak lagi mahu menerima komunikasi komersial daripada Western Union, sila hubungi Western Union seperti yang dinyatakan dalam bahagian 10.
- Menghubungi Western Union. Anda boleh menghubungi Western Union: untuk menarik diri daripada Program, untuk melaporkan kehilangan atau kecurian Nombor atau untuk menukar atau membetulkan pilihan peribadi anda atau meminta salinan data yang dikekalkan oleh Western Union tentang penyertaan anda dalam Program. Anda boleh menghubungi Western Union dengan log masuk ke www.wu.com/mywu, e-mel: privacy@westernunion.com (untuk menukar atau membetulkan pilihan peribadi anda atau meminta salinan data yang dikekalkan oleh Western Union tentang penyertaan anda dalam Program) atau dengan menghubungi kami di 1800 813 399 (panggilan percuma daripada telefon tetap dan awam; tarif untuk panggilan daripada telefon bimbit ditetapkan oleh operator anda) atau hantar surat kepada kami di: Western Union, C/O Teleperformance, Thisseos 330, Kallithea, Athens 17675, Greece.
- Tempoh Dorman. Jika anda tidak menggunakan Nombor anda untuk tempoh setahun, kami mungkin menggantung penyertaan anda dalam Program tanpa memberikan notis kepada anda.
- Penyerahhakan. Walau apa-apa pun peruntukan lain dalam Perjanjian ini, anda tidak boleh menyerahkan hak atau memindahkan Perjanjian ini atau Nombor anda atau membenarkan orang lain menggunakan Nombor anda. Anda akan bertanggungjawab atas sebarang penggunaan Nombor anda tanpa kebenaran melainkan dan sehingga anda membuat laporan kehilangan atau kecurian kepada Western Union dengan menghubungi kami dalam Bahagian 10. Kami boleh menyerahkan hak kami atau mewakilkan tugas kami di bawah Perjanjian ini mengikut budi bicara mutlak kami.
- Undang-undang yang Mentadbir. Perjanjian ini dan hubungan antara Pihak-pihak tersebut akan dikawal selia oleh dan ditafsirkan mengikut undang-undang Ireland.
- Kebolehasingan Peruntukan. Jika mana-mana peruntukan Perjanjian ini dianggap tidak sah atau tidak boleh dikuatkuasakan, bahagian Perjanjian ini yang selebihnya tidak akan terjejas.
- Pindaan. Kami mungkin, dari semasa ke semasa, meminda terma pada Perjanjian ini dengan menyiarkan pindaan pada laman web kami. Terma Perjanjian ini boleh diperoleh pada bila-bila masa dengan log masuk ke www.wu.com/mywu atau dengan menghubungi Program My WU seperti yang dinyatakan dalam Bahagian 10. Sekiranya anda tidak menerima sebarang perubahan pada Perjanjian ini, anda hendaklah (a) memaklumi Western Union secara bertulis dalam masa 15 hari, notis yang menyebabkan penamatan Perjanjian ini atau (b) menghentikan penggunaan Nombor My WU anda.
- Pembatalan. Kami boleh membatalkan Program ini, Perjanjian ini atau hak anda untuk menyertai Program dengan serta-merta dan tanpa memberikan notis kepada anda. Anda boleh membatalkan Perjanjian ini pada bila-bila masa dengan memberikan notis bertulis kepada Western Union. Jika anda berbuat demikian, penyertaan anda dalam Program ini akan ditamatkan dalam masa tiga puluh (30) hari selepas kami menerima permintaan bertulis untuk membuat pembatalan daripada anda. Pembatalan Perjanjian ini tidak akan menjejaskan kewajipan anda di bawah Perjanjian ini setakat mana kewajipan tersebut diteruskan selepas penamatan Perjanjian ini.
©2013-2016 Western Union Holdings, Inc. Hak Cipta Terpelihara.